Dokumentari: The Private Life of Plants
Mar 19, 2010
, Dikarang oleh N.A. Rahman pada 3/19/2010 12:18:00 AM
Terdapat banyak siri-siri dokumentari berkenaan hidupan-hidupan di bumi yang ditayangkan di kaca televisyen. Malah, telah wujud saluran khas yang menumpukan kepada rancangan-rancangan dokumentari seperti National Geographic, Discovery Channel, Animal Planet dan lain-lain. Walau bagaimanapun, kebanyakan dokumentari berkenaan hidupan yang ditayangkan adalah mengenai dunia haiwan (Animalia). Masih tidak banyak siri dokumentari yang berkaitan tumbuh-tumbuhan.- Dokumentari 'The Private Life of Plants' adalah di antara siri dokumentari mengenai tumbuhan yang pernah diterbitkan. Dokumentari ini diterbitkan oleh British Broadcasting Corporation (BBC) dan mula ditayangkan buat pertama kali di Britain pada 11 Januari 1995. Pengacara dan penyampai bagi dokumentari ini ialah Sir David Attenborough.
- Kesemua enam episod dengan jangka masa selama lebih kurang 50 minit untuk setiap episod, membincangkan aspek-aspek penting dalam kitaran hidup tumbuhan dengan mengambil contoh tumbuh-tumbuhan daripada seluruh dunia.
- Siri dokumentari ini banyak menggunakan teknik sinematografi 'time-lapse' untuk memberikan perspektif berbeza. Kehidupan tumbuhan yang kompleks dan keadaannya pada skala masa yang berbeza adalah hampir tidak dapat dilihat dengan mata kasar manusia melainkan perkara tersebut yang berlaku dalam masa berbulan-bulan atau bertahun-tahun dapat ditunjukkan dalam beberapa saat dengan menggunakan teknik sinematografi tersebut.
- Selain tumbuhan, siri dokumentari ini turut membincangkan perkara yang berkaitan dengan cendawan atau kulat (fungi). Dokumentari ini juga membincangkan hubungan tumbuhan dengan persekitarannya seperti tanah, air, cuaca, serangga, haiwan, kulat, tumbuhan lain dan juga manusia.
- Dokumentari ini membincangkan enam aspek utama kehidupan tumbuhan yang dibahagikan kepada enam episod iaitu:
- Penghijrahan (Travelling)
- Pertumbuhan (Growing)
- Pembungaan (Flowering)
- Perjuangan sosial (The Social Struggle)
- Kehidupan bersama (Living Together)
- Kemandirian (Surviving)
- Selepas penyiarannya di televisyen, dokumentari ini telah dihasilkan di dalam bentuk DVD. Video di bawah merupakan sebahagian daripada dokumentari tersebut. Pada permulaan video ini, Sir David Attenborough memberikan penerangan mengenai periuk kera spesies Nepenthes rajah yang hanya terdapat (endemik) di Gunung Kinabalu dan Gunung Tambuyukon di Sabah.
- Foto-foto di bawah di ambil daripada dokumentari 'The Private Life of Plants':
Sir David Attenborough memberi penerangan berkenaan bunga pakma atau Rafflesia.
Periuk kera Nepenthes rajah di Gunung Kinabalu, Sabah.
Amorphophallus titanum atau 'Titan Arum' di Sumatera, Indonesia.
Paku-pakis di atas pokok kempas (Koompassia sp.)
Mencuba makan buah durian di Sabah.
Rujukan:
http://en.wikipedia.org/wiki/Private_life_of_plants




Sekarang ada 0 Komen: