Selamat Datang

Kenali Palma: Johannesteijsmannia (Bhg. 1)

Feb 4, 2010 , Dikarang oleh N.A. Rahman pada 2/04/2010 08:54:00 AM


PENGENALAN

  1. Pernahkah anda pergi ke Taman Botani Putrajaya? Cuba anda perhatikan logo bagi taman botani tersebut (rajah di bawah). Tahukah anda, tumbuhan yang menjadi ikon utama logo ini merupakan salah satu spesies tumbuhan palma daripada genus Johannesteijsmannia iaitu Johannesteijsmannia perakensis.


    Logo Taman Botani Putrajaya
    Sumber: www.pjh.com.my

  2. Di Malaysia, terdapat tidak kurang daripada 420 spesies palma (famili Palmae atau Arecaceae), di mana 91 spesies adalah endemik atau hanya ditemui di Semenanjung Malaysia, 70 spesies endemik di Sarawak dan 14 spesies endemik di Sabah.

  3. Kebanyakan palma adalah elegan dan cantik tetapi terdapat salah satu daripadanya yang sangat unik iaitu Johannesteijsmannia. Palma ini mempunyai daun yang sangat besar dan bentuknya seperti berlian.

  4. Di Semenanjung Malaysia, palma ini dikenali sebagai 'Daun Payung' dan di Sarawak pula dikenali sebagai 'Ekor Buaya'. Orang asli Semai di beberapa bahagian di Selangor memanggilnya 'Sal' atau 'Kok' manakala masyarakat kampung di utara Perak mengenalinya sebagai 'Palas Gajar'.

  5. Empat spesies daripada palma genus Johannesteijsmannia terdapat di Semenanjung Malaysia dan spesies yang sering ditemui adalah Johannesteijsmannia altifrons. Spesies tersebut juga merupakan tumbuhan asli (native) di Sumatera, Selatan Thailand dan Sarawak.

  6. Tiga spesies palma Johannesteijsmannia yang lain pula adalah endemik dan hanya terdapat di Semenanjung Malaysia (tidak terdapat di tempat lain di dunia secara asli) dan agak jarang ditemui serta sangat terancam. Hanya terdapat beberapa populasi kecil spesies tersebut di Perak, Kedah, Selangor dan Negeri Sembilan.

SEJARAH
  1. Pada suatu ketika dahulu, keempat-empat spesies palma tersebut dianggap sebagai spesies yang sama dan diberi nama Teysmannia altifrons.

  2. Spesimen pertama palma tersebut dikutip pada tahun 1865 di Padang, Sumatera dan dinamakan sempena nama seorang pakar botani dan juga merupakan Pengarah Kebun Raya Bogor (Bogor Botanic Gardens), Indonesia pada abad ke 18 iaitu Johannes Elias Teijsmann.


    Johannes Elias Teijsmann
    Sumber: en.wikipedia.com

  3. Walau bagaimanapun, nama genus tersebut ditukar pada tahun 1961 atas sebab teknikal kepada nama Johannesteijsmannia (bunyi sebutannya adalah 'yohan-ehs-tehs-mah-nya').

  4. Rekod terawal palma daun payung yang dijumpai di Semenanjung Malaysia (Tanah Melayu pada masa itu) telah di terbitkan oleh Ridley (1925) yang juga merupakan seorang pakar botani.

  5. Pada tahun 1972, ahli botani tropika yang terkenal, Dr. J. Dransfield telah menerbitkan keterangan yang paling sahih dan terkini bagi empat spesies.

  6. Empat spesies tersebut adalah Johannesteijsmannia altifrons, J. perakensis, J. magnifica dan J. lanceolata. Hanya J. perakensis (nama epitetnya diambil sempena nama Negeri Perak) yang mempunyai batang.

Johannesteijsmannia altifrons yang ditemui oleh penulis di hutan Taman Negeri Endau Rompin, Pahang



Johannesteijsmannia perakensis
Sumber: www.tfbc.frim.gov.my



Johannesteijsmannia magnifica
Sumber: www.tfbc.frim.gov.my



Johannesteijsmannia lanceolata
Sumber: www.tfbc.frim.gov.my


Nota: Artikel ini telah diterjemah dan diolah semula oleh penulis blog ini daripada artikel "The Magnificent Four: Johannesteijsmannia Palms" oleh Wong Mun Pun dan Peter V. Kuppers di dalam majalah Malaysian Naturalist bil. 59/2 tahun 2005 terbitan Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS).

Rujukan daripada artikel asal:

Dransfield, J. 1972. The genus Johannesteijsmannia H.E. Moore Jr. The Gardens Bulletin Singapore 26: 63-83.

Lim, C.K. 2000. The magnificent Johannesteijsmannia palms of Malaysia. Folia Malaysiana 2: 13-26.

Moore, H.E. Jr. 1961. Johannesteijsmannia: A new name of the palm genus Teysmannia. Principes. 5: 116.

Sekarang ada 0 Komen:

Leave a Reply

Post a Comment