Selamat Datang

Pengenalan 3: Tatanama Biologi

Jan 29, 2010 , Dikarang oleh N.A. Rahman pada 1/29/2010 10:46:00 AM

  1. Seringkali kita menemui nama-nama di dalam abjad Latin bagi tumbuhan. Nama-nama tersebut mungkin membuat kita agak sukar untuk menyebut atau menulisnya. Walau bagaimanapun, ia adalah suatu sistem yang universal bagi memudahkan kita merujuk kepada suatu tumbuhan itu dengan tepat.

  2. Nama merupakan suatu simbol biasa yang berfungsi sebagai rujukan dan dapat menghindarkan penggunaan frasa huraian yang panjang. Tujuan nama ialah sebagai perantaraan komunikasi.

  3. Seperti suatu kod, nama hanya dapat berfungsi dengan berkesan apabila difahami dan mempunyai makna yang sama bagi semua yang menggunakan kod tersebut. Nama harus universal dan jelas.

  4. Nama-nama biasa dalam bahasa tempatan bagi tumbuhan pada umumnya jauh daripada menepati syarat-syarat kod dan tidak sesuai digunakan dalam tatanama biologi. Kadangkala jenis tumbuhan yang sama dikenali dengan lebih satu nama atau sebaliknya.

  5. Tatanama biologi menggariskan satu set peraturan yang dikenali sebagai kod tatanama bagi menghindari masalah tersebut (Jeffry 1986). Pembentukan dan penggunaan nama sains bagi tumbuhan dikawal oleh Kod Antarabangsa Tatanama Botani (International Code of Botanical Nomenclature = ICBN).

  6. Untuk menjadi universal, nama sains mesti ditulis dalam abjad dan bahasa yang sama. Kod tatanama memerlukan semua nama sains dalam bentuk Latin, ditulis dalam abjad Latin dan mengikut peraturan nahu Latin.

  7. Nama spesies mengandungi dua perkataan, oleh itu ia dikatakan binari, binomial atau binominal (Latin: bis=dua kali; nomen=nama).

  8. Nama suatu spesies mengandungi nama genus di mana spesies itu dikategorikan dan diikuti dengan perkataan kedua (epitet) yang bersangkutan dengan spesies. Huruf pertama perkataan pertama ditulis dengan huruf besar. Perkataan kedua boleh jadi kata sifat atau kata nama. Ia ditulis dengan huruf awal yang kecil. Nama saintifik MESTI ditulis dengan gaya 'Italic' (apabila ditaip) atau digariskan (apabila ditulis dengan tangan).

  9. Contohnya nama spesies bagi pokok durian tupai ialah Durio griffithii (Mast.) Bakh.. Spesies tersebut tergolong di dalam genus Durio dan perkataan kedua (epitet) di dalam nama spesies tersebut diambil sempena nama Dr. William Griffith (1810-1845), seorang ahli botani British. Perkataan '(Mast) Bakh.' di belakang nama spesies tersebut merupakan singkatan nama ahli botani yang memperincikan ciri-ciri tumbuhan tersebut dan menerbitkan namanya (Mast.=Maxwell Tylden Masters dan Bakh.= Reinier Cornelis Bakhuizen van den Brink).

  10. Walau bagaimanapun, memadai jika sesuatu nama spesies ditulis tanpa dicatatkan nama orang yang menerbitkannya, cuma ia tidak lengkap.


Bunga bagi pokok durian tupai (Durio griffithii) yang ditemui oleh penulis di Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Kepong


Spesimen herbarium bagi durian tupai (Durio griffithii)
Sumber: http://www.nationaalherbarium.nl/Sungaiwain/


Dr. William Griffith (1810-1845)
Sumber: en.wikipedia.org

Rujukan:

Jeffry, C. 1986. Tatanama biologi. Terj. Latiff, A. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Sekarang ada 0 Komen:

Leave a Reply

Post a Comment