Pengenalan 1: Botani
Jan 29, 2010
, Dikarang oleh N.A. Rahman pada 1/29/2010 10:45:00 AM
- Pernahkah anda terdengar atau terbaca mengenai botani? Mungkin kita sudah biasa mendengar mengenai taman botani seperti Taman Botani Putrajaya, Taman Botani Pulau Pinang atau Taman Botani Rimba Ilmu,UM di Malaysia. Kita pasti akan terbayangkan tumbuh-tumbuhan yang berbagai-bagai jenis yang terdapat di taman tersebut.
- Memang tepat jika kita mengaitkan botani dengan tumbuh-tumbuhan. Cronquist (1982) menyatakan bahawa botani merupakan bidang sains yang mengkaji tumbuh-tumbuhan. Bidang ini merupakan salah satu cabang biologi, iaitu kajian sains mengenai benda hidup termasuk tumbuhan dan haiwan.
- Menurut Baharuddin (1987), bidang botani meninjau segala aspek asasi mengenai tumbuhan, terutamanya dari segi morfologi (bentuk fizikal), struktur, fungsi, pembiakan atau kitar hidup dan pengelasan.
- Secara umum, alam tumbuhan terbahagi kepada dua kumpulan utama iaitu:
i. tumbuhan peringkat rendah (kriptogam)
- paku-pakis (pteridofit)
- lumut (briofit)
- alga
ii. tumbuhan peringkat tinggi (fanerogam) yang juga dikenali sebagai tumbuhan berbiji atau spermatofit
- tumbuhan berbunga (angiosperma)
- tumbuhan tidak berbunga (gimnosperma) - Rajah contoh bagi lima jenis tumbuhan secara umum:
Paku-pakis: Pucuk paku (Diplazium esculentum) yang sering ditemui di pasar
Lumut: Sphagnum sp. yang ditemui di puncak gunung Pine Tree Hill (1456 m), Pahang
Alga: Rumpai laut yang ditemui di pantai Batu Ferringhi, Pulau Pinang
Tumbuhan berbunga: Pembungaan bagi pokok petai (Parkia speciosa) yang ditemui di Hutan Simpan Gunung Tebu, Terengganu
Tumbuhan tidak berbunga: Bogak (Cycas circinalis) yang ditemui di sekitar kawasan masjid Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi
Rujukan:
Cronquist, A. 1982. Basic botany. Ed. Ke-2. New York: Harper and Row.
Baharuddin, S. 1987. Pengenalan alam tumbuhan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.




Sekarang ada 0 Komen: