Pembungaan petai

Falkner Tree Template Falkner Tree Template

Buah pokok kapur

Falkner Tree Template Falkner Tree Template

Bunga durian tupai

Falkner Tree Template Falkner Tree Template

Palma 'daun payung'

Falkner Tree Template Falkner Tree Template
Selamat Datang

Malaysia Mempunyai Pakar yang Cukup Untuk Melindungi Kepelbagaian Biologi Negara

Dikarang oleh N.A. Rahman pada Nov 14, 2010 , kategori | Komen (0)




Oleh Kuah Guan Oo
Diedit semula oleh N.A. Rahman
Foto oleh Saliman Leman

BANGI, 9 Nov. 2010 – Negara kini mempunyai kepakaran ahli sains dan penyelidik secukupnya untuk memelihara serta memanfaatkan kekayaan kepelbagaian biologi tumbuhan dan haiwan yang terdapat dalam hutan belantaranya.

Profesor Emeritus Dato’ Dr Abdul Latiff Mohamad dari Pusat Pengajian Sains Sekitaran dan Sumber Alam, Fakulti Sains dan Teknologi UKM berkata Malaysia sudah pun diakui Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sebagai salah satu daripada 12 buah negara terkaya dalam kepelbagaian bio di dunia.

Oleh sebab itu para saintis, pakar dan penyelidik patut melindungi, memulihara dan memanfaatkan “lubuk genetik”  yang tersimpan di dalam berbagai jenis tumbuhan dan haiwan yang terdapat dalam hutan belantara negara untuk perubatan, makanan dan peninggalan warisan.

“Kerajaan telah menyediakan dana besar untuk pendidikan dan para saintis, penyelidik dan pakar harus menyumbang kepakaran mereka terhadap pemuliharaan serta memanfaatkan harta karun ini untuk negara dan masyarakat,” kata ahli botani veteran itu yang memulakan kerjayanya sebagai seorang tutor di UKM pada 1975 sebelum menjadi seorang pensyarah pada 1979.

Dilahirkan di Kota Baru 62 tahun lalu, beliau telah menerima ijazah BSc (Kepujian) dalam bidang botani dari Universiti Malaya pada 1974, ijazah sarjana dalam jurusan Taksonomi Tumbuhan Tulen dan Gunaan pada 1975 dan ijazah PhD dalam Sistematik Tumbuhan pada 1978 kedua-duanya dari University of Reading, England.

Prof. Latiff berkata Malaysia boleh memainkan peranan utama dibidang sains dan pemuliharaan biodiversiti di mana kaji selidik boleh merentasi sempadan merangkumi ASEAN, Persidangan Negara-negara Islam (OIC) serta negara-negara dunia ketiga.

“Kepelbagaian flora and fauna adalah suatu lombong bio dan harta khazanah bukan saja untuk negara tetapi juga dunia amnya.

“Misalnya, terdapat banyak bahan perubatan yang belum diketahui dari tumbuh-tumbuhan serta berbagai khazanah laut sekeliling termasuk batu karang yang boleh digunakan sebagai ubat contohnya demam malaria yang bukan hanya terdapat di sini tetapi juga di negara lain di dunia,” katanya.

Beliau waktu muda telah banyak menumpukan tenaga terhadadp penerbitan setiap hasil penyelidikannya tetapi kini telah mula berfikir bagaimana beliau boleh membayar balik budi kepada masyarakat, negara dan agama.

“Tidaklah adil bagi saya selepas dididik dan dilatih melalui dana kerajaan dan pembayar cukai, saya tidak membalas budi. Itulah sebabnya kenapa  saya perlu memberi perhatian kepada usaha memelihara biodiversiti negara serta memanfaatkan kekayaannya itu demi kebahgiaan masyarakat dan negara.” 

Beliau telah menerbitkan berbagai rencana dalam jurnal, bab-bab buku termasuk buku ‘meja kopi’ serta dalam perpustakaan virtual untuk memberi keterangan mengenai haiwan dan tumbuh-tumbuhan sebagai satu langkah jangka panjang untuk meningkatkan aktiviti ekopelancongan dan teknologi bio.

“Kita mahu lebih ramai pelancong ke mari untuk melihat bunga gergasi Rafflesia, orang utan atau kera. Kita juga perlu melakukan lebih banyak kajian bio untuk mencungkil khasiat berbagai tumbuhan, haiwan, bakteria, kulat dan juga batu karang sebagai ubat bermacam penyakit. Kita harus memanfatkan organisma yang terdapat dalam negara kita dan dengan itu juga dapat membantu meningkatkan industri teknologi bio negara.”

Prof. Latiff yang telah menyelia berpuluh-puluh penuntut di peringkat PhD dan sarjana serta sarjana muda dalam kerjaya selama 31 tahun berpendapat bahawa UKM sendiri mempunyai bilangan saintis, penyelidik dan pakar secukupnya yang mampu duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan pakar luar negara, yang boleh melakukan penyelidikan teknologi bio terhadap khazanah hutan kita, khasnya di Sabah dan Sarawak sebelum hutan asli itu dicemarkan.

Oleh sebab itu, beliau telah banyak berjuang supaya setiap negeri mewujudkan hutan simpannya dengan mewartakan sekurang-kurangnya sebuah hutan simpanan dalam setiap negeri, sama seperti mereka mahu memiliki universiti sendiri.

Serentak dengan itu usaha untuk mengenal pasti, menklasifikasi dan mengkatalogkan semua flora dan fauna yang terdapat di dalam hutan simpanan supaya kita tahu apa sebenarnya yang kita melindungi dan memelihara itu hingga mempunyai alasan kukuh untuk mengekalkan kesemua hutan simpan itu, katanya.

Beliau gembira dengan usahanya hingga membawa kepada Kerajaan Perlis mewartakan hutan simpannya pada 1998 sementara Kerajaan Pulau Pinang telah memulakan langkah untuk mewartakan Pulau Jerejak setelah menjadikan Pantai Acheh sebagai Taman Negara dan Bukit Panchor pula sebagai taman negeri. Begitu juga Kerajaan Kedah sedang mewartakan tiga kawasan hutan sebagai hutan simpan negeri.

Prof.  Dr Latiff telah menceritakan bagaimana suatu ketika dahulu beliau telah pulang ke Kota Baru Kelantan untuk mengumpul pokok-pokok untuk kajian. Kebetulan sedang mereka mengambil sejenis pokok untuk kajian, seorang makcik lalu berdekatan dan telah menanya mereka kegunaan pokok yang dicabut itu.

Wanita tua itu memberitahu mereka bahawa pokok itu dikenali orang di situ sebagai “kenerak” (atau Goniothalamus umbrosus - Annonaceae) yang boleh mencetuskan keguguran kandungan awal jika daun, ranting dan akar pokok itu direbus dan airnya diminum. 

Rakannya, Prof. Dato’ Dr Laily bin Din, yang melakukankajian terhadap pokok itu telah mengenal pasti sebatian pokok itu yang dipanggil goniothalamin.

Seorang lagi rakannya, Prof. Dr Azimahtol Hawariah Lope Pihie, menjalankan ujian sebatian ke atas tikus dan mengesahkan bahawa ia berkesan. Beliau kemudiannya berjaya menghasilkan satu ubat berkesan untuk mengubati barah payudara di peringkat awal. Ubat itu telah pun di patenkan oleh mereka.

“Tetapi publisiti mengenai penemuan itu oleh BERNAMA pada masa itu mungkin tidak bersesuaian kerana kebetulan mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad baru saja mengumumkan dasar  Kerajaan mahu meningkatkan jumlah penduduk Malaysia ke 70 juta bagi menyokong proses industrilisasi negara.

“Teman-teman mengambil kesempatan mengejek kami tentang ubat kami bagi mengggugurkan sedangkan orang sibuk mahu lebih ramai anak!” ketawa beliau.

Tun Dr Mahathir mengumumkan dasar meningkatkan jumlah penduduk ke 70 juta bagi mengujudkan pasaran dalaman yang boleh membantu menggiatkan proses perindustrian, semasa berucap di perhimpunan agong Umno pada Sept, 1982.

Penemuan beliau mengenai khasiat afrodisiak Tongkat Ali (Eurycoma longifolia) hampir memupuskan pokok itu apabila ramai orang masuk  hutan mencarinya.

“Hampir semua pokok tongkat ali dalam hutan berdekatan telah dicabut orang, sehingga saya sendiri tidak dapat mencarinya.” Beliau bagaimana pun gembira hasil penyelidikan telah dimanfaatkan dengan ada kedai yang menyediakan “kopi  tongkat ali” dan sebagainya.

Prof. Latiff berkata potensi perubatan daripada bahan biodiversiti adalah luas dan benar. Beliau berkata terdapat satu kes di mana seorang saintis barat pergi duduk bersama satu puak kaum asli di Thai Utara dan beliau mendapati kaum wanita puak itu menggosok sejenis daun ke dada untuk membesarkan payudara mereka.

Saintis itu membawa pulang daun itu untuk kajian dan menjumpai sebatian berkenaan dan telah dipatenkannya dan kini dipasarkan, tetapi saintis itu kini di dakwa oleh Kerajaan Thai.

“Anda boleh bayangkan betapa besar pasaran untuk ubat itu,” tambah Prof Dr Latiff yang telah menerbitkan beratus-ratus penerbitan, Beliau kemudian di anugerahkan D.P.S.K yang membawa gelaran Dato’ oleh mantan Sultan Kelantan manakala UKM pula mengiktirafkan sumbangannya dengan memberikan gelaran Profesor Emeritus pada 2008.

Beliau juga telah  menyandang pelbagai jawatan nasional seperti sebagai pengerusi WWF Malaysia dan  pengerusi Yayasan Pulau Banding.

Di peringkat antarabangsa, beliau pernah dilantik sebagai perunding selain fellowship penyelidikan seperti Fellow Linnean Society of London dan Fellow Academy Science Malaysia.

Beliau juga menjelaskan mahu terus berkhidmat selama dua tiga tahun lagi sebelum bersara terus untuk bermain dengan cucu-cucunya selain membuat kerja-kerja amal untuk NGO.

Beliau telah bersara daripada UKM pada June 2004 dan kini masih bekerja sebagai pensyarah kontrak.

Fakta Bunga Raya (Hibiscus rosa-sinensis)

Dikarang oleh N.A. Rahman pada Oct 2, 2010 , kategori | Komen (0)




1. Diisytiharkan sebagai bunga kebangsaan bagi Malaya (sekarang Malaysia) pada 28 Julai 1960 oleh Perdana Menteri ketika itu iaitu Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.

2. Sebagai bunga kebangsaan juga, bunga raya didaftarkan sebagai objek warisan negara di bawah kategori Objek Warisan Ketara pada tahun 2007, sebagaimana yang termaktub di dalam Akta Warisan Kebangsaan 2005.

3. Malah, acara sambutan meraikan ulang tahun ke-50 bunga raya sebagai bunga kebangsaan yang julung kali diadakan pada 30 September 2010.

4. Walaubagaimanapun, adakah anda tahu bahawa bunga raya  bukan berasal dari Malaysia?

5. Bunga raya (Hibiscus rosa-sinensis) dipercayai berasal dari China dan mula ditanam buat pertama kali oleh orang China bagi bunganya yang cantik. Terdapat juga pendapat yang mengatakan bahawa spesies tersebut berasal dari kepulauan di selatan Lautan Hindi iaitu Madagascar, Kepulauan Mascarene dan Kepulauan Rodrigues. Bunga raya juga dipercayai dibawa ke Tanah Melayu oleh pedagang seawal abad ke-12.

6. Terdapat kira-kira 12,000 hingga 15,000 spesies tumbuhan berbunga yang merupakan tumbuhan asal tempatan di Malaysia menurut kajian Bidin dan Latiff (1995). Daripada jumlah ini, adakah tiada satu pun tumbuhan tempatan yang dapat memenuhi kriteria sebagai bunga kebangsaan? Saya masih tidak dapat mencari jawapannya kerana mungkin diri saya yang tidak terlalu bersemangat patriotik.

7. Sementara mencari jawapan soalan tersebut, iklan menggalakkan pengguna membeli barangan buatan Malaysia yang kerap ditayangkan di televisyen terbayang-bayang di dalam fikiran saya. Ini kerana saya berpendapat masih ramai masyarakat kita yang gemar membeli barangan yang mempunyai cap ‘Made in China’ kerana harganya yang lebih murah dan mempunyai banyak pilihan.

Rujukan

  • Akpan, G.A. 2007. Hibiscus: Hibiscus rosa-sinensis. Dlm. Anderson N.O. (pnyt.). Flower breeding and genetics, hlm. 479-489. Springer.
  • Bidin, A. & Latiff, A. 1995. The status of terrestrial biodiversity in Malaysia. Dlm. Zakri, A.H. (pnyt.). Prospects in biodiversity prospecting, hlm. 59-76. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.
  • Rohana, M. 2010. Mengembalikan kegemilangan merah bunga raya. http://www.bernama.com.my/bernama/v5/bm/newsfeatures.php?id=530834
Sumber foto: http://en.wikipedia.org/

Rancangan Malaysia Ke-10 Tumpu Pemuliharaan Hutan

Dikarang oleh N.A. Rahman pada Jun 27, 2010 , kategori | Komen (0)





Oleh Sakina Mohamed

KUALA LUMPUR, 27 Jun (Bernama) -- Rancangan Malaysia untuk memulihara dua koridor hijau membabitkan kawasan yang luas di Semenanjung dan di Sabah dan Sarawak di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) akan meliputi kawasan yang saiznya seluas Iceland.

Paling penting, ia akan melindungi flora dan fauna yang jarang-jarang ditemui, yang tidak ditemui di tempat lain, di kawasan yang dikenal pasti sebagai pusat kepelbagaian biologi di bumi ini.

Semasa membentangkan RMK-10 baru-baru ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan rancangan untuk melaksanakan "Central Forest Spine" (CFS) di Semenanjung Malaysia membabitkan 4.32 juta hektar dan sebanyak enam juta hektar lagi di Sabah dan Sarawak bagi inisiatif "Heart of Borneo".

CFS meliputi jaringan empat kawasan hutan utama iaitu dari Perlis di utara ke Johor di selatan, iaitu Banjaran Titiwangsa-Banjaran Bintang-Banjaran Nakawan, Taman Negara-Banjaran Timur, tenggara Pahang-Chini dan Bera dan kawasan Taman Endau Rompin Park-Taman Hidupan Liar Kluang, kata Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Dana Hidupan Liar Sedunia (WWF) Malaysia Datuk Dr Dionysius Sharma.

"Manfaat utama daripada kejayaan pelaksanaan CFS ialah habitat penting hutan dan koridor semulajadi sedia ada akan dilindungi dan pada masa yang sama memulihara jaringan antara hutan yang terpisah melalui hubungan ekologi atau koridor hidupan liar.

"Koridor berkenaan akan menjamin pergerakan hidupan liar dengan selamat antara satu kawasan hutan dengan kawasan hutan yang lain dengan meminimumkan hubungan dengan manusia dan dengan cara ini, dapat mengurangkan potensi bagi konflik antara manusia dan hidupan liar," katanya kepada Bernama.

Sharma berkata ancaman utama kepada kewujudan hidupan liar ialah pembersihan hutan asli bagi aktiviti pembangunan, perladangan dan projek infrastruktur, menyebabkan kehilangan habitat dan juga pemecahan kawasan habitat.

Seluruh kawasan hutan yang luas itu merupakan rumah kepada banyak spesies flora dan fauna yang jarang-jarang ditemui.

Misalnya, Bukit Fraser, diketahui menjadi rumah kepada 36 spesies tumbuhan dan sekurang-kurangnya satu spesies tarantula serta beberapa spesies katak dan reptilia yang tidak ditemui di tempat lain di dunia, katanya.

Sementara CFS yang merupakan landskap utama bagi harimau, adalah amat penting bagi Pelan Tindakan Pemuliharaan Harimau Negara untuk menambah populasi harimau Malaya kepada 1,000 ekor menjelang 2020.

Inisiatif "Heart of Borneo" meliputi 200,000 km persegi yang menghubungkan hutan hujan di Kalimantan (Indonesia), Sabah dan Sarawak (Malaysia), dan Brunei Darussalam.

Mendapat sokongan ketiga-tiga kerajaan, inisiatif itu berobjektif memulihara habitat Orang Utan Borneo, gajah pygmy dan badak sumbu.

Malaysia memperuntukkan empat juta hektar di Sabah dan dua juta hektar di Sarawak bagi inisiatif itu.

Di bahagian Malaysia akan meliputi kawasan hutan iaitu Taman Negara Kinabalu, Lembah Danum, Lembangan Maliau, Taman Negara Mulu, tanah tinggi Bario, Taman Negara Pulong Tai dan Taman Negara Batang Ai.

Taman Negara Kinabalu, diwartakan sebagai Tapak Warisan Dunia, diiktiraf sebagai pusat bagi orkid dengan lebih 2,000 spesies dan lebih 35 spesies pokok periuk kera.

-- BERNAMA

Sumber:  http://www.bernama.com/bernama/v5/bm/newsgeneral.php?id=509028

UMS Wujud Taman Botani Enam Hektar

Dikarang oleh N.A. Rahman pada May 8, 2010 , kategori | Komen (0)



KOTA KINABALU, 6 Mei (Bernama) -- Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang telah mewujudkan Dasar Lanskap mahu menerap konsep Universiti Dalam Taman, kata Naib Canselornya, Prof Datuk Dr Kamaruzaman Ampon.

"Kita mahu mengekalkan kehijauan kampus sebagai sebahagian daripada usaha membangunkan dunia intelek, dan kalau boleh kita mahu UMS menjadi tarikan pelancong.

"Dahulu kita tidak ada garis panduan yang jelas mengenai lanskap, dan dengan adanya dasar lanskap, kita mahu transformasikan UMS sebagai unversiti di dalam taman iaitu seolah-olah unversiti ini berada dalam hutan yang mempunyai persekitaran yang segar," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Taman Botani UMS seluas enam hektar di kampus induk di Likas Khamis.

Beliau berkata bagi merealisasikan misi itu, UMS akan turut menyusun semula program penanaman pelbagai jenis pokok di sepanjang jalan di kawasan kampus.

Dr Kamaruzaman berkata Taman Botani berkenaan akan dimajukan secara berperingkat-peringkat.

"Mengikut perancangan, UMS melalui Institut Biologi Tropika dan Pemuliharaan akan menanam koleksi spesis pokok hutan yang jarang-jarang ditemui seperti pokok belian dan seraya (meranti) dan pokok putat yang menjadi asas kepada nama Pekan Putatan.

"Banyak lagi pokok dan tumbuh-tumbuhan yang akan ditanam di kawasan Taman Botani ini. Namun semua ini tidak dapat dilihat untuk masa sekarang tetapi 20 atau 30 tahun akan datang untuk dinikmati dan dibanggakan oleh anak-cucu kita atau generasi akan datang," katanya.

Beliau berkata Taman Botani UMS akan dibuka kepada orang ramai apabila dimajukan sepenuhnya.

Kamaruzaman berkata selain untuk kawasan riadah, Taman Botani UMS yang terletak di puncak hutan bukit bakal menjadi pusat pembelajaran serta rujukan berkaitan ilmu botani, ekologi, fenologi, etnobotani, biologi fauna dan flora termasuk tumbuh-tumbuhan dari spesis yang terdapat di kepulauan Borneo.


Sumber: http://www.bernama.com/bernama/v5/bm/news_lite.php?id=495974

Komen Rahman, N.A. : Tahniah UMS. Universiti Malaysia Sabah merupakan 'junior' kepada Universiti Kebangsaan Malaysia kerana ia merupakan bekas Universiti Kebangsaan Malaysia Kampus Sabah. Walau bagaimanapun, UMS telah melangkah ke hadapan di dalam pemuliharaan tumbuhan. InsyaAllah, UKM juga akan bersama-sama melaksanakan usaha pemuliharaan dengan lebih giat dan telah menubuhkan Taman Herba dan Taman Paku-pakis (Fernarium). Diharapkan semakin banyak institut penyelidikan turut terlibat di dalam pemuliharaan tumbuhan.

Fakta Nombor: Keluasan Kawasan Berhutan di Malaysia

Dikarang oleh N.A. Rahman pada May 1, 2010 , kategori | Komen (0)



Sejumlah 18.23 juta hektar atau 55.19% daripada keluasan bumi Malaysia yang berjumlah 33.03 juta hektar adalah kawasan berhutan (Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi Malaysia 2008). Daripada jumlah tersebut, 5.84 juta hektar terdapat di Semenanjung Malaysia, 4.32 juta hektar di Sabah dan 8.07 juta hektar lagi di Sarawak (Jadual 1). Jumlah keluasan kawasan berhutan di Malaysia juga merangkumi hutan darat seluas 14.78 juta hektar, hutan paya gambut seluas 1.27 juta hektar, hutan paya laut seluas 0.58 juta hektar dan lain-lain (hutan ladang, tanah kerajaan dan kawasan perlindungan hidupan liar) seluas 1.60 juta hektar (Jadual 2). Malaysia juga mempunyai Hutan Simpanan Kekal (HSK) seluas 15.34 juta hektar iaitu 4.74 juta hektar di Semenanjung Malaysia, 3.60 juta hektar di Sabah dan 7.00 juta hektar terdapat di Sarawak. Daripada jumlah tersebut, keluasan kawasan hutan perlindungan ialah 2.77 juta hektar dan kawasan hutan penghasilan pula seluas 12.57 juta hektar (Jadual 3).

Jadual 1 Keluasan kawasan berhutan di Malaysia (juta hektar)

Kawasan Keluasan Tanah Jumlah Kawasan
Berhutan
Peratus Kawasan
Berhutan (%)
Semenanjung
Malaysia
13.17 5.84 44.34
Sabah 7.41 4.32 58.30
Sarawak 12.45 8.07 64.82
Malaysia 33.03 18.23 55.19


Jadual 2 Taburan dan keluasan hutan jenis-jenis utama (juta hektar)

Kawasan Hutan
Darat
Hutan Paya
Gambut
Hutan Paya
Laut
Lain-lain Jumlah
Kawasan
Berhutan
Semenanjung
Malaysia
4.25 0.21 0.10 1.28 5.84
Sabah 3.76 0.12 0.34 0.19 4.32
Sarawak 6.86 0.94 0.14 0.13 8.07
Malaysia 14.78 1.27 0.58 1.60 18.23


Jadual 3 Keluasan Hutan Simpanan Kekal (juta hektar)

Kawasan Hutan Perlindungan Hutan Penghasilan Jumlah
Semenanjung Malaysia 1.18 3.56 4.74
Sabah 0.59 3.01 3.60
Sarawak 1.00 6.00 7.00
Malaysia 2.77 12.57 15.34


RUJUKAN

Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi Malaysia. 2008. Statistics on Comodities 2008. Kuala Lumpur.

Pokok Karas (Aquilaria malaccensis)

Dikarang oleh N.A. Rahman pada Apr 7, 2010 , kategori | Komen (0)



  1. Aquilaria malaccensis Lamk. yang tergolong di dalam famili Thymelaeaceae, mempunyai taburan yang meluas di Malaysia, India, Myanmar, Sumatera, Singapura, Borneo dan Filipina.

  2. Spesies ini turut dikenali dengan nama tempatan sebagai karas. Ia boleh hidup dari kawasan hutan tanah rendah sehingga hutan pergunungan rendah pada altitud 750 m.

  3. Pokok karas merupakan pokok yang mempunyai nilai yang tinggi kerana kayu bersama resin yang diperolehi daripada teras kayu yang telah tua atau telah dijangkiti penyakit, yang dikenali sebagai gaharu di dalam Bahasa Melayu.

  4. Aroma yang wangi dihasilkan apabila kayu tersebut dibakar. Oleh itu, ia digunakan sebagai dupa atau setanggi bagi kegunaan upacara di dalam beberapa agama. Minyak pati yang disuling daripada ekstrak cecair kayu telah digunakan dalam wangian mewah di timur.

  5. Pokok karas merupakan pokok yang bersaiz daripada sederhana sehingga besar iaitu sehingga berketinggian 40 m dan berdiameter 60 cm. Batang pokok lazimnya lurus tetapi kadangkala berbelimbing (fluted) dan banir akarnya mampu mencapai ketinggian dua meter. Kulit batangnya berstruktur licin dan berwarna kelabu keputihan.

  6. Batang pokok karas

    Banir akar pokok karas

  7. Daun biasanya mempunyai bentuk oblong eliptik dan 'wedge-shape' yang lebar di pangkalnya. Pembungaannya berada pada aksil (di antara tangkai daun dan dahan) dan biasanya bercabang dengan dua hingga tiga umbel, dengan setiap umbel terdiri daripada 10 bunga. Bunganya mempunyai bentuk seperti loceng dan tiub, kira-kira 5 mm panjang dan berwarna hijau, kuning atau putih. Bunganya juga menghasilkan aroma.

  8. Daun bagi pokok karas

  9. Pokok karas dapat dibezakan dengan mudah daripada spesies lain di dalam genus Aquilaria melalui saiz buahnya. Pokok karas mempunyai buah yang besar, kira-kira 3-4 x 2.5 cm dan bentuknya seperti buah 'pear'. Setiap buah mempunyai biji tunggal dengan apendaj berbentuk seperti ekor.

  10. Buah dan daun pokok karas

    Sebiji buah pokok karas

  11. Pokok karas mengambil masa selama 40 hingga 50 tahun untuk menjadi cukup matang bagi menghasilkan gaharu yang berkualiti tinggi. Kadar kehilangan yang pantas bagi pokok karas daripada habitat asalnya di hutan menjadi petunjuk bahawa harga gaharu adalah sangat tinggi di peringkat antarabangsa.   
* Artikel ini adalah terjemahan dan susunan semula oleh Rahman N.A. daripada artikel asal bertajuk 'Aquilaria malaccensis' oleh Syahida Emiza Suhaimi daripada laman web http://www.tfbc.frim.gov.my/. Sumber foto juga daripada laman web tersebut.